Thursday 31 March 2011

Cukur Jambul dan Berbuai atau "Berendoi"


Kesenian berendoi merupakan kesenian berunsur Islam. Seramai 3 atau 4 orang akan ‘berdikir’ atau menyanyi dengan irama berendoi dalam upacara ‘bercukur’ seseorang bayi yang berusia 7 hari, 44 hari atau lepas pantang.

Biasanya endui iaitu buaian yang disediakan untuk upacara ini dihiasi indah. Seorang kanak-kanak yang telah dicukur rambutnya dan ‘dibelah mulut’ diletakkan di dalamnya. Bermulalah nyanyian berendoi memuji Rasulullah atau yang mengandungi nasihat, semangat dan teladan dengan harapan unsure-unsur tersebut akan tertanam dalam sanubari kanak-kanak.


Selalunya istiadat naik buaian ini didahului dengan upacara mencukur rambut
bayi berserta perlakuan yang berkaitan dengannya. Istiadat naik buaian ini disertai dengan marhaban. memotong rambut ataupun bercukur. upacara ini
di mulakan dengan menepung tawar kepala bayi dan menggunting sedikit rambut bayi itu. Upacara ini diiringi dengan alunan marhaban. 
 
Bayi itu seterusnya dibawa mengelilingi ahli-ahli marhaban di mana setiap mereka menggunting rambut bayi tersebut.Rambut bayi yang digunting itu dimasukkan ke dalam nyiur muda supayarambut bayi itu akan tumbuh subur dan lebat seperti sabut nyiur. Setelah iturambut bayi dibawa turun ke tanah dan ditanam di pangkal pokok pisang.Tujuannya agar kepala bayi itu akan sentiasa merasa sejuk dan ini akan menggalakkan pertumbuhan rambut. Setelah itu barulah bayi dinaikkan keatas buaian dan dibuai sambil dilagukan dengan berzanji dan syair Siti
Fatimah.

SYAIR SITI FATIMAH

Asalnya Nabi Nor yang mulia
Dijadikan Allah tuhan yang kaya
Dahulu daripada alam dunia
Arash Kursi belum ada.

Langit dan bumi terang dan kelam
Jin manusia kafir dan lslam
Asalnya ia di Darussalam
Diturunkan tuhan di dunia alam.

Empat bulan sampailah tuan
Sudah menjadi kaki dan tangan
Cukuplah dengan sifat sekalian
Nyawanya belum lagi didatangkan
 
Setelah saat datang waktu
Datanglah nyawa lalu bersatu
Dalam tubuh tempatnya itu
Hawa dan nafsu sudah berlaku.
Dikandungkan ibumu sembilan bulan
Nasi dan air tidak tertelan
Melahirkan engkau berapa kesakitan
Terkadang bercerai nyawa dan badan
Apabila sudah cukupnya hari
Sakitlah ibumu tidak terperi
Bapamu turun berlari-lari
Mengambil bidan bawa ke mari.

Bidan pun datang tidaklah terlewat
Serta membawa kelengkapan ubat
Dilihatnya penuh saudara sahabat
Bidan pun naik semakin rapat
 
Sakitnya perut bagai nak pecah
Bukannya kurang makin bertambah
Dipanggil bapamu disuruh langkah
Minta ampun barang yang salah
 
Tatkala engkau jatuh ke lantai
Dengan segera bidan mencapai
Sudah dimandi lalu dipakai
Tinggallah ibumu lemah gemalai
 
Sudah dipakai lalu di Qamat
Meminta doa supaya selamat
Ingatlah pesan Nabi Muhammad
Disuruh mengerjakan amal yang taat.
 
Ayuhai anakku janganlah bantah
Ibumu memelihara terlalu susah
Dialih ke kiri ke kanan pun basah
Habis dilumur kencing dan muntah
 
Dilabuhkan tabir ribut pun lalu
Pelita terpasang di dalam kelambu
Sembur dan barut bertalu-talu
Minta jauhkan syaitan dan hantu.
 
Jikalau datang petir dan ribut
Rabun dibakar engkau dibarut
Di dalam hati terlalu takut
Memelihara engkau jangan terkejut
 
Penatnya badan setiap waktu
Digantung tirai serta kelambu
Pelita terpasang di dalam kelambu
Tiada diberi nyamuk hampir padamu.
Kenanglah olehmu Awang dan Dayang
 
Pada ibumu hendaklah sayang
Sakitlah badan hangat berdiang
Tidak berhenti malam dan siang

Ibumu berdiang tidak berhenti
Hidupnya pun rasa nak mati
Terlalu gundah di dalam hati
Antara hendak lepas 44 hari.




contoh rujukan sahaja



No comments:

Post a Comment